Sejarah Dolar keluaran kerajaan Jepun di Malaya, di Borneo Utara, di Sarawak dan di Brunei

Selepas kejatuhan Singapura ke dalam tangan Empayar Jepun pada 15 Februari 1942, pemerintahan tentera Jepun memperkenalkan mata-mata wang baharu sebagai ganti mata-mata wang yang digunakan dahulu di kawasan-kawasan Malaya, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei yang didudukinya. Mata wang baharu di Malaya dan Singapura dikeluarkan pada nilai yang sama dengan dolar Malaya dan diedarkan buat pertama kali pada tahun 1942. Sebagaimana dengan mata-mata wang yang dikeluarkan oleh Jepun di wilayah-wilayah yang lain yang didudukinya, penghuni tempatan dipaksa menggunakan jenis mata wang tersebut, dengan duit-duit syiling dahulu dibenarkan sehingga kekurangan duit syiling memerlukan pentadbiran Jepun mengeluarkan nota terbitan juga untuk sen.

Pemerintahan tentera Jepun mencetak nota-nota bank dengan sewenang-wenangnya apabila wang diperlukan. Ini mengakibatkan hiperinflasi serta susut nilai duit pisang yang dahsyat. Tambahan lagi, pemalsuan nota bank menular, akibat ketiadaannya nombor siri dalam banyak nota duit pisang. Inflasi yang semakin meningkat, bersama-sama dengan gangguan ekonomi Jepun oleh Pihak Berikat akhirnya memaksa pentadbiran Jepun mengeluarkan nota bank dalam jenis mata wang yang lebih besar serta menambahkan jumlah wang dalam edaran.[1] Kejatuhan nilai duit pisang yang mendadak serta kenaikan harga barang-barangan seringnya berlaku selepas penewasan-penewasan Jepun dalam pertempuran di luar negeri.[1]

Berbagai-bagai jenis mata wang duit pisang (atas dan kiri) dipaparkan di Memories at Old Ford Factory, Singapura. Oleh sebab duit pisang tidak bernilai sejurus selepas Perang Dunia II, nota bank duit pisang kini terhad sebahagian besarnya kepada barang pameran muzium atau pengumpul duit syiling.

Selepas penyerahan Jepun, duit pisang langsung tidak bernilai dan sehingga hari ini, kerajaan Jepun enggan menukarkannya. Sesetengah orang tempatan berjaya mengelakkan kemiskinan kerana mereka menyembunyikan dolar Selat dan dolar Malaya yang merupakan mata-mata wang yang digunakan sebelum serangan Jepun. Oleh itu, mereka yang mempunyai dolar lama itu dapat menggunakannya sejurus selepas pihak British menyambung semula penguasaan Singapura dan tanah-tanah jajahan yang berhampiran. Sebilangan nota bank duit pisang dicap sebagai kenang-kenangan perang, dengan penggunaannya sebagai kertas bercetak untuk kalendar asas pada 1946 juga dicatat.[1]

Nilai duit pisang pada masa ini sebagai barang pengumpul tidak tetap dan bergantung kepada keadaannya, kewujudan nombor siri, penggunaan kertas tenun, serta penggunaannya sebagai spesimen.[1] Nota-nota yang tidak memilik nombor siri masih bernilai tetapi nilainya adalah lebih rendah daripada nilai tercetak, manakala versi-versi yang lebih jarang ditemui adalah lebih tinggi daripada nilai tercetaknya, kekadangnya sebanyak banyak kali.[1] Nota-nota yang dicap sebagai kenang-kenangan perang kini jarang ditemui, manakala nota-nota dengan cetak tindan kalendar 1946 bernilai lebih kurang RM3,000 pada September 2006.[1]

Risalah-risalah bersaiz 10 dolar dengan cetak tindan nota bank 10 dolar di bahagian depan pernah digugurkan dari udara oleh angkatan tentera British semasa pendudukan Jepun sebagai amaran kepada penduduk bahawa duit-duit pisang itu tidak akan bernilai jika Jepun ditewaskan.[1] Ketakutan dalam kalangan penduduk terhadap pemilikan risalah tersebut menyebabkan risalah-risalah itu kini jarang ditemui dan oleh itu, nilainya sekarang adalah tinggi (dianggarkan bernilai RM3,000 pada September 2006).[1]